10 Julai, 2006 13:41 PM
Ibu Mengandung Dibenar Menaiki Kapal Terbang Mas Sehingga Minggu Ke-36
KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) -- Ibu mengandung dibenarkan menaiki pesawat antarabangsa Penerbangan Malaysia (MAS) dalam keadaan kandungan normal sehingga minggu ke-35 sementara bagi laluan domestik pula sehingga minggu ke-36, tanpa perlu pemeriksaan dan kebenaran daripada syarikat itu.
Bagaimanapun, ibu mengandung mestilah mengeluarkan satu sijil perubatan yang ditandatangani oleh doktor berkenaan yang menunjukkan mereka layak untuk menaiki pesawat.
"Sijil perubatan itu mestilah ditandatangani oleh kakitangan kita dan disimpan dalam fail. Ibu mengandung yang tidak tersenarai dalam peringkat kandungan ini tidak diterima menaiki kapal terbang," menurut MAS dalam kenyataannya di sini Isnin.
Jika seseorang ibu itu yang mengandung dalam minggu ke-35 dan ke-36 dan didapati tidak ada sijil perubatan doktor semasa pemeriksaan di lapangan terbang, beliau dibenarkan menaiki pesawat dengan menandatangani borang keluaran dan perlindungan.
Kedua-dua salinan borang itu hendaklah diisi oleh penumpang berkenaan dan menyerahkannya kepada kakitangan di kaunter daftar masuk sebelum pas manaiki pesawat diberikan, kata MAS.
MAS menyatakan demikian sebagai menjawab pertanyaan mengenai satu insiden apabila seorang ibu melahirkan bayi perempuan semasa menaiki pesawat MAS dari Kuala Lumpur ke Kuching pada malam Selasa lepas, 25 minit sebelum pesawat itu mendarat di Kuching.
Norhaizan Sharbini, 44, melahirkan anak ketiganya pada pukul 7.05 malam semasa menaiki pesawat MH2538 yang mendarat di Kuching pada jam 7.30 malam. Pesawat itu yang berlepas dari Kuala Lumpur mengambil masa sejam 45 minit untuk tiba ke Kuching.
Bayi itu dijangka dilahirkan pada 23 Julai ini dan Norhaizan, dari Sarawak, pulang ke kampung halamannya untuk bersalin.
Apabila Norhaizan sakit untuk bersalin, satu pengumuman dibuat dan seorang doktor swasta dari Kuching, Dr Wanali Tuanku Mahdi, 54, yang ketika itu juga menaiki pesawat tersebut membantu beliau melahirkan anaknya.
"Dalam insiden itu, penumpang tersebut, Norhaizan, mengandung dalam minggu ke-36. Oleh kerana beliau tidak mengeluarkan sijil perubatan daripada doktor, beliau bersetuju dan menandatangani borang keluaran dan perlindungan sebelum beliau dibenarkan masuk ke pesawat itu untuk ke Kuching", menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
Self-Sabotage VS Self-Destructive Behaviour
3 months ago
No comments:
Post a Comment